Saturday, 26 September 2015

Analisis Petikan

Analisis dan Perbincangan : Kesalahan Tatabahasa

            Petikan yang telah saya pilih adalah bertajuk “Cara Mengatasi Masalah Sosial” yang ditulis oleh Nazli Azman dari IPG Kampus Dato’ Razali Ismail dan petikan tersebut dimuat naik ke laman sosial pada tahun 2011. Petikan yang dipilih tersebut telah saya analisis dari dua aspek, iaitu morfologi dan sintaksis. Sehubungan itu, terdapat beberapa kesalahan bahasa yang telah dikesan dan dibincangkan seperti berikut.

1.    Kesalahan dari segi Ejaan
Dalam petikan ini, terdapat empat perkataan yang mempunyai kesalahan dari segi ejaan. Kesalahan dari segi ejaan menyebabkan perkataan-perkataan yang dieja tidak membawa sebarang makna. Hal ini berlaku kemungkinan sikap kecuaian semasa penulis dalam menaip perkataan atau sebab lain. Perkataan-perkataan yang mempunyai kesalahan dari segi ejaan seperti :

Kesalahan Ejaan dari Petikan
Ejaan yang dibetulkan
Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut.
Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah tersebut.
Malah di dahului oleh berbagai cara dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa.
Malah didahului oleh berbagai cara dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa.
Kesilapan di dalam memilih kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak, gangster atau kumpulan samseng dan sebagainya.
Kesilapan di dalam memilih kelompok rakan setara sama ada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak, gangster atau kumpulan samseng dan sebagainya.
Pihak sekolah juga perlu memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati peraturan dan pihak yang berwewenang.
Pihak sekolah juga perlu memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati peraturan dan pihak yang berwenang.

2.    Kesalahan dari segi Kata Majmuk
Kata majmuk merujuk kepada dua kata dasar atau lebih yang dirangkaikan menjadi satu maksud. Berdasarkan petikan, terdapat kata majmuk yang bukan digolongkan sebagai bentuk kata majmuk yang mantap. Justeru, bentuk kata majmuk tersebut hendaklah ditulis secara berasingan. Kesalahan-kesalahan kata majmuk yang dikesan dari petikan adalah seperti berikut :

Kesalahan Kata Majmuk dari Petikan
Kata Majmuk yang dibetulkan
beliau menyatakan bahawa akibat dari kesibukan ibubapa mengejar kerjaya, kelihatan hari ini masalah kebejatan sosial dalam keluarga hanya dipandang sepi dan remeh.
beliau menyatakan bahawa akibat dari kesibukan ibu bapa mengejar kerjaya, kelihatan hari ini masalah kebejatan sosial dalam keluarga hanya dipandang sepi dan remeh.

3.    Kesalahan dari segi Penggunaan Imbuhan
Berdasarkan petikan, terdapat beberapa kesalahan imbuhan yang berlaku pada pembentukan perkataan. Kesalahan penggunaan imbuhan menyebabkan perkataan tersebut kurang tepat dalam menyampaikan makna dalam ayat. Kedua-dua ayat yang mempunyai kesalahan dari segi penggunaan imbuhan adalah seperti berikut :

Kesalahan Penggunaan Imbuhan  
dari Petikan
Ayat yang dibetulkan
Globalisasi bergerak seiringan dengan modenisasi.
Globalisasi bergerak seiring dengan modenisasi.
Penjelasan
Akhiran –an ialah imbuhan yang ditambah pada bahagian akhir kata dasar. Akhiran dalam bahasa Melayu hanya wujud pada kata nama dan kata kerja. Sehubungan itu, perkataan “seiring” bukan digolongan sebagai kata nama atau kata kerja. Justeru, perkataan “seiring” tidak boleh ditambah dengan akhiran –an.

4.    Kesalahan dari segi Kata Sendi Nama
Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Berdasarkan petikan, terdapat beberapa kesalahan dari segi penggunaan kata sendi nama dalam pembinaan ayat. Kesalahan tersebut menyebabkan maksud yang disampaikan adalah kurang sesuai dari segi struktur ayat. Kesalahan dari segi kata sendi nama adalah seperti berikut :

Kesalahan Kata Sendi Nama
dari Petikan
Ayat yang dibetulkan
Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat.
Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat.
Beliau menyatakan bahawa rakan merupakan antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan sebaya.
beliau menyatakan bahawa rakan merupakan antara agen sosial yang berpengaruh dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan sebaya.
Penjelasan
Kata sendi nama “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Berdasarkan ayat di atas, perkataan yang mengikuti kata sendi nama “di” bukan merujuk kata nama yang menunjukkan tempat. Oleh itu, kata sendi nama “di” dalam ayat di atas hendaklah digugurkan.

Kesalahan Kata Sendi Nama
dari Petikan
Ayat yang dibetulkan
Untuk mengelakkan keretakan perpaduan dalam kalangan manusia akibat dari perbuatan devein gejala sosial, maka beberapa langkah pendekatan untuk mengurangkan masalah gejala sosial harus diambil.
Untuk mengelakkan keretakan perpaduan dalam kalangan manusia akibat perbuatan devein gejala sosial, maka beberapa langkah pendekatan untuk mengurangkan masalah gejala sosial harus diambil.
Penjelasan
Kata sendi nama “dari” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Manakala perkataan “akibat” dalam ayat di atas telah membawa maksud hasil atau keputusan daripada sesuatu peristiwa (perbuatan). Justeru, kata sendi nama “dari” dalam ayat di atas haruslah digugurkan.

5.    Kesalahan dari segi Kata Nafi
Kata nafi yang hanya hadir sebelum frasa, ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu frasa nama, frasa kerja, krasa adjektif, dan frasa sendi nama. Ada dua bentuk kata nafi, iaitu bukan dan tidak. Berdasarkan petikan, terdapat satu kesalahan dari segi penggunaan kata nafi dalam pembinaan ayat. Kesalahan tersebut menyebabkan maksud yang disampaikan adalah kurang sesuai dari segi struktur ayat. Kesalahan dari segi kata nafi adalah seperti berikut :

Kesalahan Penggunaan Kata Nafi  
dari Petikan
Ayat yang dibetulkan
Globalisasi tidak saja ditanda dengan dominasi ekonomi tetapi ia merentasi ke arah budaya dan pemikiran.
Globalisasi bukan saja ditanda dengan dominasi ekonomi tetapi ia merentasi ke arah budaya dan pemikiran.
Penjelasan
Kata nafi “bukan” hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud pertentangan maklumat. Sehubungan itu, perkataan “tetapi” yang hadir dalam ayat sebagai kata kata hubung dan secara langsung membawa maksud pertentangan kepada seluruh ayat. Justeru, kata nafi “tidak” yang digunakan dalam ayat di atas haruslah ditukar kepada “bukan.

6.    Kesalahan dari segi Kata Penguat
Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Berdasarkan petikan, terdapat satu kesalahan dari segi penggunaan kata penguat dan kata sendi nama yang digunakan secara serentak dalam pembinaan ayat. Kesalahan tersebut menyebabkan maksud yang disampaikan adalah kurang tepat dari segi struktur ayat. Kesalahan dari segi kata penguat adalah seperti berikut :

Kesalahan Penggunaan Kata Penguat
dari Petikan
Ayat yang dibetulkan
……mengatakan bahawa antara punca paling utama yang menyumbang kepada masalah sosial ialah kurangnya kasih sayang dari keluarga.
a) ……mengatakan bahawa antara punca yang menyumbang kepada masalah sosial ialah kurangnya kasih sayang dari keluarga.  

                              ATAU

a) ……mengatakan bahawa punca paling utama yang menyumbang kepada masalah sosial ialah kurangnya kasih sayang dari keluarga.

Penjelasan
Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif.  Manakala kata sendi nama “antara” membawa maksud “mencelah dengan sesuatu yang lain”. Daripada makna yang diberi oleh “paling” dan “antara”, jelas menunjukkan pertentangan maksud yang dibawa kepada pembinaan ayat. Justeru, kedua-dua kata ini tidak dapat hadir serentak dalam satu ayat.

7.    Kesalahan dari segi Kata Ganda
Kata ganda merupakan kata dasar yang mengalami proses pengulangan dalam dua cara, iaitu yang melibatkan seluruh kata dasar dan yang melibatkan sebahagian kata dasar sahaja. Berdasarkan petikan, terdapat satu kesalahan dari segi penggunaan kata ganda dalam pembinaan ayat. Kesalahan tersebut menyebabkan pembinaan struktur ayat yang kurang tepat. Kesalahan dari segi kata ganda dalam struktur ayat adalah seperti berikut :

Kesalahan Penggunaan Kata Ganda dalam struktur ayat dari petikan
Ayat yang dibetulkan
Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
Begitu juga dengan perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
Penjelasan
Maksud ayat di atas yang ingin disampaikan dan ditegaskan adalah teknik pengajaran yang mengalami perubahan. Selain itu, pengulangan kata dasar berlaku hanya sekali dalam satu ayat. Justeru, kata ganda “perubahan-perubahan” digunakan dalam ayat di atas tidak harus mengalami proses pengulangan.

8.    Kesalahan dari segi Kata Pinjaman
Bagi perkataan yang berupa istilah atau kata pinjaman daripada bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain, penyesuaian ejaan dalam bahasa Melayu dilakukan dengan mematuhi peraturan-peraturan khas seperti yang ditentukan.  Berdasarkan petikan, terdapat satu kesalahan dari segi ejaan kata pinjaman dalam bahasa Melayu. Kesalahan tersebut menyebabkan struktur ayat yang tidak menepati ejaan perkataan bahasa Melayu. Kesalahan dari segi kata pinjaman adalah seperti berikut :

Kesalahan Ejaan Kata  Pinjaman dari petikan
Ayat yang dibetulkan
Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
Ibu bapa hendaklah menjadi rol model kepada anak.


Konklusinya, melalui analisis yang dilaksanakan pada petikan “Cara Mengatasi Masalah Sosial”, terdapat lapan jenis kesalahan yang telah dikesan. Penemuan kesalahan-kesalahan tersebut adalah penting dan harus dibetulkan kerana daripada itu dapat menyampaikan maksud yang tepat serta dapat memberi kefahaman yang tidak mengelirukan kepada pembaca.